Helaian-helaian akar yang halus mula terbit dari sebiji benih yang jatuh ke tanah beberapa hari sebelum itu. Ia terus memanjang mengurai kemudian meliang-liuk di celahan tanah sekitarnya.
Hari demi hari berlalu, belum ada tunas yang muncul tapi akar tersebut terus juga menjalar ligat mengikat segala mampatan tanah yang melingkarinya.
Hujan, panas, ribut dan petir melanda, akar itu tetap memanjang. Jangkauannya semakin jauh, merungkai tanah dan mengisi setiap ruang di sekelilingnya. Akar yang menunjanginya pula terus ganas menusuk ke dasar, memasak bumi.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun, tapi aneh, masih belum ada tunas yang muncul menghijau di permukaan bumi. Di saat pokok-pokok yang seusianya sudah melampai tinggi, merimbun dan berbuah, akar tadi masih tetap begitu - memanjang dan menjalar tanpa tanda-tanda akan mengeluarkan tunas.
Lima tahun berlalu, pada suatu pagi yang hening, muncullah sebatang tunas kecil berwarna coklat kekuningan dari rumpunan akar tersebut lalu menerjah keluar menjengah bumi yang indah. Bentuknya seperti kun, tajam di puncak.
Seminggu kemudian, tunas yang mulanya sebesar jari kelingking itu sudah sebesar pergelangan tangan! Tingginya melebihi semeter! Minggu berganti minggu, tunas itu terus menunjang seperti tiada apa yang mampu membumbunginya lagi. Dalam masa yang sama daun-daun tirus meruncing tumbuh mengelopak di setiap ruasnya. Hijau dan segar.
Enam minggu berlalu, tunas yang dulunya sebesar kelingking sudah sebesar betis, keras dan liat. Tingginya mencecah 25 meter! Bukan 2.5 meter, tapi 25 meter! Jauh lebih tinggi daripada pokok-pokok lain yang seusia dengannya.
Itulah keajaiban pokok buluh Cina yang perlu anda ketahui. Fikirkan..lima tahun! Selama itu ia begitu sabar terperap di dalam tanah hanya untuk menguatkan akar-akar serta memelihara kesuburannya. Kemudian tumbuh dengan satu kejutan dan keajaiban.
Tumbuhnya kukuh. Meskipun sentiasa galak ditiup angin, ataupun dilanda ribut dan taufan, pokok buluh yang tinggi lampai itu tetap teguh berdiri di tapaknya, tidak patah, tidak sekah.
Begitu juga dengan kita sebagai manusia. Kita hanya akan menjadi manusia yang teguh dan cemerlang hanya setelah membina 'akar' yang kukuh terlebih dahulu. Jangan gopoh, korbankan masa untuk membina 'akar' itu kerana hanya sistem 'akar' yang kuat saja boleh melonjakkan kita ke tempat yang tinggi.
Photo Blog 681-690
4 years ago

